Skip to main content
24 November 2022

UTeM Anjur International Conference on Global Optimization and Its Application 2022

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan 11th International Conference on Global Optimization and Its Application 2022 (ICoGOIA) yang akan berlangsung pada 26 dan 27 November bertempat di salah sebuah hotel di Bandaraya Melaka.

Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, persidangan antarabangsa ini akan memberikan impak besar bagi penyelesaian pengoptimuman global dan aplikasinya dalam pelbagai bidang utama dunia.

“Ianya termasuklah bidang penjagaan kesihatan, biokimia, proses pembuatan, sistem tenaga, telekomunikasi, perniagaan, ekonomi, pengurusan, teknologi dan kewangan,” katanya.

Katanya lagi, antara lain impak persidangan ini turut ke arah kemampanan aktiviti Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) komprehensif yang menjadi nadi pembangunan negara dan dunia.

Sementara itu, Pengerusi Persidangan ICoGOIA 2022, Professor Ir. Ts. Dr. Puvanasvaran A. Perumal berkata, golongan profesional yang terlibat dalam persidangan ini merupakan ahli akademik, penyelidik, jurutera, pengamal industri, perunding dan pelajar prasiswazah dan pasca siswazah.

Ujarnya, mereka merupakan tenaga pakar yang mewakili empat buah negara yang terdiri dari Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

“Perkongsian kepakaran dan idea penyelidikan terkini oleh mereka nanti terutama bidang pengoptimuman diharapkan bakal mencetuskan kepada peningkatan produktiviti global, katanya.

Mengulas lanjut beliau menyatakan persidangan ini turut menjadi faktor penggerak kepada peningkatan jumlah penerbitan kertas kerja ilmiah universiti-universiti terutamanya di UTeM di dalam jurnal berindeks.

Penganjuran ICoGOIA 2022 merupakan gabungan kepakaran dua negara serantau menerusi Fakulti Kejuteraan Pembuatan (FKP) UTeM bersama dengan Indonesian Operation Research Association (IORA).