Skip to main content
03 November 2022

Konvokesyen ke-18 UTeM Rai 3,149 Graduan

DURIAN TUNGGAL 2 November – Seramai 3,149 graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-18 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-18 yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 November ini.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, majlis konvokesyen akan diadakan selama enam sesi dan membabitkan graduan diploma, sarjana muda, ijazah sarjana, ijazah doktor kejuruteraan dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Jelasnya, hampir 60 peratus daripada jumlah graduan pada tahun ini adalah merupakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan peranan UTeM sebagai sebuah universiti yang melahirkan graduan TVET di Malaysia.

“Pada konvokesyen ini turut akan menganugerahkan Anugerah Profesor Emeritus; Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media sewaktu sidang media pemakluman Majlis Konvokesyen Ke-18 UTeM di sini, semalam.

Katanya lagi,menerusi majlis itu juga nanti, dua waris akan mengambil skrol mewakili dua graduan yang telah meninggal dunia yang mana seorang graduan Diploma Teknologi Maklumat dan seorang lagi graduan PhD.

Graduan PhD tersebut merupakan pelajar antarabangsa UTeM dan warisnya akan datang dari Indonesia ke majlis konvokesyen nanti.

Pada masa sama, katanya, UTeM turut mengajak semua graduan, alumni dan orang ramai dari seluruh Melaka dan negara untuk menghadiri dan memeriahkan Festival Konvo Tuah 18 UTeM yang bermula secara rasmi pada 4 hingga 7 November nanti.

“Namun begitu terdapat juga aktiviti telah bermula sejak 29 Oktober lalu dengan beberapa pengisian menarik seperti Jelajah UTeM Menjerit yang diadakan sekitar Melaka dan perlawanan bola sepak antara Pilihan UTeM dan Veteran Malaysia yang dijadualkan pada 2 November.

“Pelbagai acara dan aktiviti menarik yang dijadualkan untuk Festival Tuah 18 UTeM ini dan yang paling utama, kita mengadakan karnival kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan HRD Corp.

“Kira-kira 200 peluang pekerjaan yang disediakan menerusi karnival kerjaya,” katanya lagi.

Turut hadir sewaktu sidang media tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Masdzarif Mahat serta Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi.