
29 July 2020
UTeM anjur forum atas talian kupas norma baharu dan impak sektor perindustrian pasca Covid-19
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan lndustri & Masyarakat) telah menganjurkan forum atas talian atau secara Virtual yang mengupas norma baharu dan impak sektor industri di musim pasca Covid 19, baru-baru ini.
Forum bertajuk "Linking Academia With Industry: Research Collaboration & Graduate Employability In The New Normal" ini melibatkan 4 orang panel yang berpengalaman iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd, Mr. Vachaspati Pillutla, Pengurus Kanan Product Management Strategic Planning, DreamEDGE Sdn. Bhd, Muhammad Shahrul Farhan Abdul Wahab, Pengarah Intel PSG Custom Logic Engineering Penang and India (CLE-P/CLE-I), Lynn Olson dan Timbalan Presiden Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Dr. Sumitra Nair.
Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof. Madya Ir. Dr. Md Nazri Othman berkata, penganjuran forum tersebut turut berperanan sebagai platform kepada staf dan pelajar UTeM mendapat pendedahan serta perkongsian menarik dari pemain industri sebenar secara terus berkenaan kolaborasi penyelidikan bersama dan juga peluang kerjaya graduan.
Jelasnya forum tersebut turut mengupas lanjut mengenai Impak Covid-19 terhadap norma masyarakat dalam melaksanakan tugas serta aktiviti harian yang terkesan di samping menyediakan medium yang sesuai bagi para mahasiswa membuat persediaan memudahkan mereka mengorak langkah ke dunia pekerjaan sebenar nanti.
Moderator bagi forum ini adalah Pengarah Pusat Hubungan Industri UTeM, Prof. Madya Dr. Kok Swee Leong dan Pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi , Prof. Madya Ts. Dr. Zuraida Abal Abas
Forum tersebut turut disiarkan menerusi laman rasmi Facebook UTeM, Apps Streamyard dan UTeM TV bagi tujuan perkongsian umum termasuklah para pelajar dan pensyarah UTeM.