Skip to main content
30 January 2026

UTeM Universiti Pertama Malaysia Jalin Kerjasama Teknikal Bersama TUKE Slovakia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan universiti pertama dalam negara yang telah menjalin kerjasama strategik dalam bidang teknikal bersama Technical University of Kosice (TUKE), Slovakia.

Selari dengan itu bagi menyemarakkan pengisian dan impak kerjasama ini maka UTeM dan TUKE bakal membangukan Makmal Kepintaran Buatan (AI) dan Sibernetik berteknologi terkini dunia

Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pembangunan Makmal AI dan Sibernetik ini merupakan perkonsgian teknologi dan kepakaran di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (AI) yang dimiliki bersama.

Jelasnya, makmal berkenaan yang bakal dibangunkan dalam perancangan pada tahun ini bakal menjadi makmal secara guna sama bersama antara 2 buah universiti teknikal di Malaysia dan Slovakia.

Ujarnya, makmal ini dilengkapi dengan segenap kelengkapan termoden termasuklah teknologi pemindahan AI yang mana menjadi antara makmal AI dan Sibernatik antara tercanggih di peringkat global.

Katanya lagi, selain pembangunan Makmal AI dan Sibernetik UTeM dan TUKE turut akan bekerjasama dalam 2 projek berimpak dunia iaitu pembangunan teknologi terkini komputer super dan teknologi hidrogen yang mendapat perhatian dan permintaan pasaran dunia pada masa kini.

“Agenda ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UTeM bagi pemerkasaan AI dalam bidang pendidikan TVET yang memberikan impak langsung kepada aspirasi negara bagi kemajuan bidang ini,” ujarnya sewaktu kunjungan UTeM ke TUKE baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, hubungan UTeM dan TUKE telah sedia terjalin erat dalam konteks pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa yang mana banyak agenda berimpak tinggi dijayakan bersama.

“Antara pengisian lain kerjasama UTeM dan TUKE turut melibatkan program mobiliti pendidikan tinggi, program penyelidikan dan inovasi serta penyebaran ilmu dan pemantapan kurikulum.

“Di samping itu turut memperkasakan mobiliti kredit antarabangsa Erasmus+ serta pembelajaran berpengalaman dan penyerapan budaya antara 2 buah negara Malaysia dan Slovakia,” katanya.

Dalam pertemuan antara UTeM dan TUKE ini, pihak TUKE dihadiri oleh Timbalan Rektor Inovasi dan Pemindahan Teknologi, Prof Ing Dr Juraj Gazda dan Timbalan Rektor Pembangunan dan Hubungan Luar, Ing Dr Rastislav Rucinsky.

Sementara itu, pihak UTeM dihadiri oleh Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Prof Ts Dr Mohd Sanusi Azmi dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE), Hazman Hasib