Skip to main content
23 January 2026

Borneo Unity Summit Anjuran PMaSS UTeM Perkukuh Jaringan Strategik Kerjasama Rentas Universiti Ke Arah Penjanaan Mahasiswa Holistik

Program Borneo Unity Summit yang menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi Sabah dan Sarawak 3 buah universiti dari selatan tanahair berjaya memperkukuhkan jaringan strategik serta kerjasama rentas universiti bagi menjana mahasiswa yang berpakej holistik.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak (PMaSS) UTeM ini telah berjaya menghimpunkan seramai 143 orang mahasiswa Sabah Sarawak dari UTeM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Program ini telah diadakan di Dewan Auditorium Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Presiden PMaSS UTeM, Mohammad Fadhli Arib berkata, Borneo Unity Summit sebagai satu inisiatif bermakna dalam memperkukuh perpaduan dan jaringan mahasiswa Borneo di perantauan.

Ujarnya, Borneo Unity Summit merupakan platform strategik untuk memperkasa kepimpinan, identiti budaya, jati diri serta kesedaran kolektif mahasiswa anak Sabah dan Sarawak merentas universiti.

“Program ini bukan sekadar pertemuan, tetapi satu usaha berterusan dalam membina komuniti mahasiswa Borneo yang bersatu, progresif dan bersedia menyumbang kepada negeri serta negara,” katanya yang juga merupakan pelajar tahun 3 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE).

Tambah beliau, penganjuran program ini merupakan permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam memperluas jaringan kerjasama antara persatuan mahasiswa Borneo serta memperkukuh suara mahasiswa anak Sabah dan Sarawak di peringkat nasional.

Progam ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dalam ucapannya berkata, program,ini bukan sekadar sebuah perhimpunan mahasiswa, sebaliknya berfungsi sebagai platform strategik dalam membina dialog, perkongsian maklumat pendidikan serta jaringan kolaborasi merentas universiti dan negeri.

Jelasnya, mahasiswa dinilai bukan hanya cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi mesilah berupaya membina jaringan strategik, kepimpinan berkesan rentas institusi kerana ia penting dalam melahirkan graduan masa depan yang berdaya saing seiringan aspirasi nasional.

“Ia juga pertu digarapkan dengan pakej pembangunan holistik yang merangkumi aspek sahsiah, integriti dan tanggungjawab sosial, selari dengan tuntutan pembangunan negara,” ujarnya.

Katanya lagi mahasiswa Sabah dan Sarawak bukan sahaja berperanan membawa nama universiti malahan menjadi duta kecil kepada negeri masing-masing yang mana sikap, pencapaian dan sumbangan mencerminkan identiti serta nilai masyarakat Borneo.

Program yang berlangsung selama sehari ini turut mendapat sokongan daripada Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan Yayasan Sarawak yang memainkan peranan penting dalam memastikan akses pendidikan tinggi berkualiti serta kebajikan mahasiswa anak-anak Borneo terus terpelihara.

Sokongan berterusan daripada agensi penaja pendidikan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan graduan berkualiti yang mampu menyumbang kembali kepada masyarakat dan negeri asal.