Keunggulan Berganda: UTeM diiktiraf Sebagai Rakan Strategik WorldSkills Malaysia dan Pusat Kecemerlangan Kemahiran Digital
Sejarah terukir buat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) apabila secara rasmi telah mencapai 2 pencapaian besar iaitu dipilih sebagai Rakan Strategik Agensi WorldSkills Malaysia Peringkat Antarabangsa dan keduanya, dinobatkan sebagai Centre of Excellence (COE) WorldSkills Malaysia dalam bidang teknologi digital.
Dengan pencapaian ini, UTeM telah menerima sijil pengiktirafan sebagai Rakan Strategik dan COE ini yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin yang diwakili Profesor Ts Dr Mohd Sanusi Azmi telah merima sijil ini di sebuah majlis pengiktirafan berprestij yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Center, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama pelajar UTeM, Chuan Ming Xuan dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), turut menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang beliau dalam pertandingan kemahiran teknikal, WorldSkills Asia Taipei 2025.
Dengan kejayaan tersebut beliau telah dianugerahkan sijil dan pingat perak yang disampaikan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Mengulas tentang pencapaian UTeM sebagai Rakan Strategik WorldSkills Malaysia dan Pusat Kecemerlangan Kemahiran Digital ini, Massila berkata, dengan pengiktirafan ini maka secara rasminya UTeM telah diangkat sebagai pusat rujukan utama (COE) dalam dua disiplin kemahiran kritikal, iaitu Pembangunan Aplikasi Mobil dan Perkomputeran Awan.
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen dan keupayaan UTeM dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang menepati piawaian antarabangsa, sekali gus menyokong pembangunan modal insan teknikal negara.
“Dengan pencapaian ini juga UTeM terus berdiri megah sebagai Universiti Awam Teknikal terulung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang
bergerak sendiri dalam melaksanakan program latihan berkaitan secara lebih meluas,” ujarnya.
Katanya, pada masa yang sama ini turut menjadi faktor pemudahcara buat UTeM bagi mendapatkan bajet dan peruntukan yang lebih bagi meningkatkan lagi fasiliti dan kemudahan dalam skala besar.
Sementara itu, mengupas tentang kejayaan pelajar UTeM ini beliau menyatakan ini merupakan impak dan keberhasilan daripada konsep pengajaran, kepakaran dan komitmen yang telah dizahirkan oleh kumpulan Jurulatih Negara dan Pakar Negara yang terdiri daripada kalangan staf UTeM.
UTeM secara khususnya FTMK memiliki Pakar Negara iaitu Pensyarah Kanan, Yahya Ibrahim manakala Jurulatih Negara pula adalah Ts. Maslita Abd Aziz, dan Ts. Nor Mas Aina Md. Bohari.
Ujarnya lagi, mereka juga turut memberikan sumbangan besar buat negara kita dalam melatih pelajar-pelajar Malaysia bagi menghadapi pertandingan kemahiran di peringkat ASEAN, Asia dan Dunia adalah tunjang kepada kejayaan negara dalam arena WorldSkills.