Makmal MiNE UTeM Cipta Sejarah Sebagai Makmal Pertama di Malaysia Terima Penganugerahan Makmal Bertauliah Cadence
Makmal Mikro & Nano Elektronik (MiNE) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta sejarah sebagai makmal pertama di dalam negara yang menerima penganugerahan Makmal Bertauliah Cadence untuk Pensijilan Rekabentuk Litar Bersepadu (IC DESIGN) dengan Teknologi Virtuoso daripada Cadence Amerika Syarikat.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian ini telah meletakkan UTeM pada kedudukan pertama dalam negara dan terus menyerlah di pentas teknologi semasa berpermintaan tinggi dunia.
Jelasnya, kejayaan ini mencerminkan bahawa UTeM adalah sentiasa seiringan dengan pemacuan teknologi semasa dunia terutamanya dalam konteks teknologi Virtuso dalam penyediaan perisian dan perkakasan untuk mereka bentuk litar bersepadu (IC), System on Chip (SOC) dan papan litar bercetak.
Ujarnya, Virtuoso Cadence dianggap sebagai standard industri utama dunia untuk reka bentuk IC kerana keupayaan canggih dan ciri komprehensif yang dimilikinya yang mana pada masa yang sama ia memegang hampir 60 peratus pasaran untuk custom layout dalam mereka bentuk analog IC.
“Sementara itu, perisian Virtuoso Cadence merupakan salah satu perisian utama yang digunakan dalam industri reka bentuk litar bersepadu yang terus mendapat permintaan yang tinggi,” ujarnya.
Menyentuh tentang Pensijilan Rekabentuk Litar Bersepadu (IC DESIGN) ini, Massila berkata, ini merupakan peluang keemasan kepada pelajar UTeM yang mengikuti program ini kerana mereka akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal melalui modul latihan dan peperiksaan lencana (badge exams) yang diiktiraf oleh Cadence.
“Ganjaran hebat buat mereka kerana ia menjadi tarikan utama dalam konteks menyuntik kebolehpasaran tinggi graduan serta memberikan kelebihan daya saing dalam pasaran kerja, khususnya dalam industri semikonduktor dan elektronik peringkat global,” katanya.
Massila berkata, pengurusan dan pengendalian makmal MiNE, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK) ini dikendalikan oleh 3 orang tenaga pakar yang telah berjaya ditauliahkan sebagai Jurulatih Bertauliah Cadence.
Mengulas lanjut tentang pencapaian ini beliau berkata, pencapaian ini adalah selari dengan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 pada teras 2 yang memfokuskan kepada menyediakan tenaga kerja tersedia industri.
“Pada masa yang sama ia turut mencapai Fokus 1 Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang digariskan pada 7 Fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 dan turut mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia menerusi SDG 4 yang menyentuh kepada Pendidikan Berkualiti.
Beliau berkata demikian sewaktu majlis penyampaian plak penganugerahan ini daripada Cadence Amerika Syarikat yang disampaikan oleh wakil mereka, Pengurus Akaun Cadence Singapura, Esther Goh.
Hadir bersama dalam majis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Zahriladha Zakaria, Timbalan Dekan (Akademik) FTKEK, Dr. Sani Irwan Md Salim.
Turut hadir adalah 3 orang Jurulatih Bertauliah Cadence UTeM iaitu Prof. Madya Ts. Dr Wong Yan Chiew, Prof. Madya Ts. Dr. Faiz Arith, dan Prof. Madya Ir. Dr.Fauziyah Sallehuddin.