Skip to main content
30 May 2025

NC UTeM Terima Anugerah Ikon Pendidikan 2025

Kewibawaan dan kecemerlangan kepimpinan berterusan dalam melonjakkan arena prestij pendidikan tinggi telah menobatkan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin sebagai penerima Anugerah Ikon Pendidikan Malaysia 2025.

Beliau telah menerima anugerah tersebut di majlis Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia (APIUM) 2025 yang telah berlangsung malam tadi di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur anjuran Niaga Times.

Dengan kejayaan itu beliau telah menerima sebuah trofi bersama dengan sijil anugerah kecemerlangan yang disampaikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Hajah Mariam Zaharah Al-Marhum Sultan Iskandar, adinda kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Menurut kenyataan UTeM, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap kredibiliti, kecemerlangan dan sumbangan beliau dalam memimpin Universiti TVET Terbaik di Malaysia yang juga pilihan utama majikan dunia ini berjaya menyerlah bukan hanya di peringkat nasional malahan turut menyinar di pentas antarabangsa.

“Massila turut unggul sebagai ikon yang komited menjayakan amanah negara daripada aspirasi menjadi nyata dengan menggerakkan pemerkasaan TVET di kalangan wanita dengan merealisasikan rangkaian program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) secara komprehensif.

"Pada masa sama, beliau turut memacu kepimpinan sebagai Pengerusi Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Pengerusi Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT)," ujar UTeM.

Katanya, sebagai pemimpin yang strategik beliau sentiasa memastikan perancangan, pengisian dan pencapaian universiti serta badan di bawah kepimpinannya seiringan dengan Fokus Kementerian Pendidikan Tinggi serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dunia.

Ulas UTeM lagi, Massila turut mencorakkan kedinamikan hubungan strategik Malaysia menerusi pendidikan tinggi di mata dunia menerusi rantaian kerjasama

strategik antara UTeM bersama denagn universiti-universiti ternama dunia di segenap benua.

Meraikan kejayaan ini, turut dihadiri Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Prof Madya Ts Dr Mohd Sanusi Azmi dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib.

Secara peribadi antara anugerah yang telah diterima oleh beliau sebelum ini antaranya adalah Anugerah Personaliti Pendidikan Transfomartif Cemerlang peringkat Asia.

Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia Education & TVET Awards dan World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award dalam World Women Economic & Business Summit (WWEBS).