Lebih 15 Ribu Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri UTeM
Lebih 15 ribu tetamu telah menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah berlangsung di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal Melaka, malam tadi,
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan tahun kedua sambutan Mahabbah Aidilfitri UTeM disambut pada waktu malam dan beralih lokasi dari Dewan Canselor ke perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar.
Ujarnya, dengan pendekatan yang agak berbeza ini sedikit sebanyak telah berjaya menyerlahkan suasana kemeriahan sambutan di samping dengan tembakan bunga api yang lebih membangkitkan suasana perayaan dalam kampus kali ini.
Katanya, para tetamu yang hadir menikmati lebih daripada 38 jenis juadah yang disajikan menerusi lebih 35 khemah makanan dan minuman yang dikendalikan oleh Pusat Tanggungjawab (PTj) dan Pihak Berkuasa Universiti (PBU) UTeM sendiri.
“Antara juadah raya yang disajikan buat tetamu adalah seperti kambing golek, nasi beriani, sate, ketupat dan rendang, aneka jenis mi, ubi rebus dan juga pelbagai jenis air minuman termasuklah turut dihidangkan buah durian,” ujarnya.
Menurut Massila, majlis ini telah berjaya mencapai objektif penganjuran sebagai medan ikatan ukhuwah silaturrahim antara seluruh warga UTeM yang terdiri daripada warga kerja bersama dengan kumpulan mahasiswanya iaitu TUAH dan TEJA.
“Pihak UTeM turut merakamkan penghargaan kepada UTeM Holdings Sdn. Bhd. yang turut sama menaja sebanyak RM 170,000.00 bagi menampung perbelanjaan majlis ini dan angka tersebut lebih banyak berbanding tahun lalu sebanyak RM150,000.00,” katanya lagi.
Majlis Mahabbah Aidilfitri UTeM diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah Ab Rahman.
Antara tetamu kenamaan yang turut hadir adalah, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga
Pengarah Universiti (LPU) UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Holdings Sdn Bhd, Datuk rosnah Abdul rashid Shirlin.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Zahriladha Zakaria, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff.
Sementara itu, program ini merupakan sebahagian pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3) daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).