Lebih 2,000 Pelajar IPT Seluruh Malaysia Sertai Program JELITA@KPT Summit 2024 Anjuran UTeM
Lebih 2,000 orang pelajar dari kalangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara akan mengikuti program JELITA@KPT Summit 2024 yang dianjurkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama 4 hari bermula dari 1 hingga 4 Disember 2024 bertempat di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan wanita negara ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program ini melibatkan seramai lebih 2,000 orang pelajar yang mana 80 peratus adalah dalam kalangan mahasiswi dan selebihnya adalah mahasiswa dalam kalangan IPTA seluruh Malaysia.
Jelasnya, antara objektif program adalah untuk menyediakan peluang kepada graduan/pelajar wanita untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang dan memantapkan kemahiran insaniah yang berasaskan keperluan industri.
“Di samping itu, menyokong graduan TVET mendapat gaji premium melalui pensijilan berasaskan keperluan industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan wanita di Malaysia,” ujarnya.
Katanya, program ini terbahagi kepada 2 fasa yang mana fasa 1 melibatkan latihan pensijilan telahpun berjalan dengan jayanya sepanjang bulan November yang bertempat di 4 zon melibatkan UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Sementara itu, fasa 2 pada 1 hingga 4 Disember ini melibatkan pengisian program seperti bengkel dan latihan, wacana motivasi, pameran produk penyelidikan inovasi dari Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), pertandingan pitching pelajar melibatkan panel dari industri, sesi temuduga bersama syarikat, penyerahan surat penawaran kerja dan pertukaran Memorandum Persefahaman dengan industri.
“Pelbagai sektor industri melibatkan syarikat tempatan dan antarabangsa terlibat sama menjayakan program berimpak nasional ini dan pada masa yang sama mereka turut menawarkan lebih seribu peluang pekerjaan buat para peserta.
“Program ini turut dibariskan dengan sekumpulan penceramah ternama dari sektor korporat dan beberapa individu pempengaruh pilihan masa kini yang akan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada para peserta,” ujarnya dalam kenyataan media UTeM.
Majlis Perasmian penutup pada 4 Disember akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
Program ini turut dijayakan bersama oleh rakan strategik MTUN yang lain yang terdiri UniMAP, UTHM dan UMPSA.