Skip to main content
21 November 2024

Julung Kali UTeM Anjur Kembara Umrah Premium dan Taja Subsidi 30 Peratus Kepada Kakitangan

Buat julung kalinya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan program Kembara Umrah dan Ziarah Premium bersama dengan tajaan subsidi sebanyak 30 peratus daripada harga pakej umrah kepada kakitangan yang layak.

Program ini merupakan kerjasama yang dijayakan oleh Pusat Islam UTeM bersama dengan UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB).

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan kakitangan dan antaranya dengan menjayakan program kembara umrah dan ziarah ini menerusi pakej umrah premium.

Jelasnya, berteraskan keprihatinan ini maka UTeM menerusi UHSB telah menaja subsidi sebanyak 30 peratus daripada bayaran harga pakej umrah yang dipilih, bagi kakitangan UTeM daripada kalangan kumpulan pelaksana untuk menikmati keistimewaan ini.

“Pada masa yang sama universiti menerusi UHSB turut cakna meringankan bebanan kewangan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan tanpa faedah (kosong peratus) kepada kakitangan yang ingin menunaikan umrah melalui program Kembara Umrah dan Ziarah UTeM-UHSB ini.

“Justeru UTeM ke hadapan dalam aspek ini dengan mempelopori inisiatif membuka peluang kepada kakitangan dengan menaja subsidi dan pembiayaan tanpa faedah yang pertama kali dalam sejarah,” ujarnya sewaktu majlis pelancaran program berkenaan di Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Katanya, kumpulan pertama yang telah berdaftar akan mula menjalani ibadah umrah bermula dari 16 hingga 27 Disember 2024 melibatkan seramai 39 orang dari kalangan kakitangan, ahli keluarga mereka serta pesara UTeM.

“Daripada jumlah tersebut seramai 27 orang peserta daripada kalangan staf UTeM telah menggunakan kemudahan Skim Pembiayaan Umrah Tanpa Faedah (0%) UTeM-UHSB.

“Sementara itu, seramai 22 orang staf UTeM layak dan telah terpilih untuk menerima subsidi penajaan sebanyak 30 peratus daripada dari harga pakej umrah yang dipilih menerusi tajaan daripada UHSB.

“Untuk projek pertama ini UHSB telah membelanjakan kos pendahuluan umrah (termasuk subsidi penajaan) sebanyak RM310,585.00,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, program ini turut menggunakan kepakaran UTeM yang mana mutawwif dan tenaga pengajar umrah adalah dari kalangan staf Pusat Islam UTeM sendiri yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam selok-belok pengurusan umrah.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global UTeM dan menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif UHSB, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff serta Pengarah Pusat Islam, Ustaz Muhammad Asyraf Sulaiman.