Skip to main content
26 September 2024

UTeM Hulur Enam Pakej Bantuan Komprehensif Kepada Nurul Balqish Bagi Memulakan Pengajian

Menyelami keperitan hidup dan kesempitan kewangan maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyalurkan bantuan awal kepada Nurul Balqish Hairulnizam bagi memulakan pengajian di universiti ini yang akan bermula pada bulan Oktober nanti.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi di atas keprihatinan kepada kebajikan pelajar UTeM yang mana melalui wakilnya Pegawai Tugas-tugas Khas, Salahuddin Saufry Hamzah secara langsung membuat panggilan video dengan memberi kata -kata semangat dan peransang kepada Nurul Balqis untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya.

Ujar Massila, UTeM sentiasa prihatin dan sedia membantu pelajar ini bagi memastikan beliau boleh memulakan pengajian program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan yang telah ditawarkan kepadanya sebelum ini.

Jelasnya, kesempitan hidup beliau bukanlah penghalang untuk beliau melanjutkan pengajian di sini kerana dengan pendidikan tinggi inilah yang akan menjadi jambatan buat beliau mengubah nasib keluarganya nanti.

“Untuk bantuan ini UTeM menyalurkan 6 pakej bantuan komprehensif yang terdiri daripada  Biasiswa Derma Siswa B40 TVET, bantuan wang tunai RM 1,500.00 sebagai bantuan awal bagi kegunaan persiapan awal memulakan pengajian dan bantuan komputer riba.

“Kami turut menyampaikan bantuan Food bank serta menawarkan kemudahan asrama kepada beliau bermula dari semester satu sehinggalah tamat pengajian di samping menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling motivasi dan kerjaya,” ujarnya.

Massila berkata, UTeM sememangnya dikenali sebagai universiti yang sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek penjagaan kebajikan kumpulan mahasiswa dan mahasiswi.

“Tindakan pro aktif kami sentiasa seiringan dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi 

 Agar sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek kebajikan pelajar dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif,” ujarnya lagi.

Pakej bantuan ini telah disampaikan terus oleh wakil UTeM di rumah pelajar berkenaan di Pontian, Johor, petang tadi.  

Kunjungan UTeM ini dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif bersama Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Profesor Dr Hambali Arep@Ariff>.

Terdahulu pihak UTeM dimaklumkan bahawa beliau sememangnya teruja untuk menyambung pengajian namun dibelenggu dengan kesempitan kewangan kronik ekoran tinggal bersama ibunya yang merupakan ibu tunggal yang hanya bekerja mengambil upah mengasuh anak orang dan juga adiknya yg masih bersekolah.

Nurul Balqish (22 tahun) menyatakan beliau sama sekali tidak menduga kunjungan pihak UTeM ke rumahnya bersama dengan pakej bantuan hebat yang amat bermakna buat beliau.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Canselor UTeM, Dr Massila dan pihak HEPA kerana menyelami keperitan hidup saya dan menghulurkan bantuan yang amat berharga buat saya.

“Ini adalah peluang besar buat saya menzahirkan keazaman dan cita-cita untuk memulakan pengajian tinggi dan berazam untuk mengubah nasib keluarga di masa akan datang,” ujarnya.

Ibu Balqish, Julie Jamaluddin mengucapkan rasa syukur dan turut berterima kasih kepada pihak UTeM yang terlalu prihatin dan terus menyampaikan bantuan awal kepada anaknya.

“Ini merupakan rezeki yang sama sekali tidak diduga oleh kami dan saya mendoakan agar anak saya cemerlang belajar di UTeM,” ulasnya.