Skip to main content
24 February 2023

Menjajar Universiti Melonjak Ke Hadapan, Menjulang Visi Memadani Malaysia

Menjajar Universiti Melonjak ke Hadapan, Menjulang Visi Memadani Malaysia merupakan tema Amanat Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi tahun 2023, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM mendokong gagasan Malaysia Madani dan menjadikan pembentukan Malaysia Madani sebagai tanggung jawab dan agenda perdana UTeM.

Jelasnya, warga UTeM yang prihatin perkembangan semasa mestilah menghayati intipati konsep Malaysia Madani dan menerapkannya ke dalam organisasi kita.

Ujarnya, mengambil mandat perutusan Menteri Pengajian Tinggi pula UTeM sebagai universiti awam dan warga KPT pasti mengambil kira kesemua 11 fokus utama tersebut dalam perancangan dan pelaksanaannya.

Katanya, 5 Teras Strategik UTeM yang dibangunkan adalah seiringan dengan 11 fokus utama yang telah diaspirasikan oleh Menteri Pengajian Tinggi.

“Lima teras itu ialah memperkasakan TVET, meluncur kerjaya; mempromosikan RICE, menjana pendapatan; menjuarai khidmat insani, mengundang kesejahteraan; mencetuskan ekosistem rancak, melestarikan universiti; dan mengembangkan nilai, menggamit kemakmuran.

“Lima teras ini telah dirangka dengan teliti dan mengambil kira segala aspek keperluan dan kepentingan, bagi memastikan masa depan

universiti terus berdaya saing, relevan, menepati kehendak pemegang taruh dan lebih terserlah di peringkat negara mahupun antarabangsa.

“Ianya berkait langsung dan berkeupayaan dalam proses menjajar universiti melonjak ke hadapan serta menjulang visi UTeM dan Memadani Malaysia,” ujarnya dalam ucapan amanat Naib Canselor yang disampaikan di Dewan Canselor UTeM.

Dalam ucapannya beliau turut menghuraikan pemadanan pengisian 5 Teras Strategik UTeM dan pencapaian semasa UTeM selari dengan kesemua elemen 11 fokus utama Menteri pengajian Tinggi secara terperinci.

Beliau turut menyatakan keyakinan dan kesediaan UTeM menyambut baik dan bergerak sepenuhnya dalam mencapai 11 faktor utama tersebut.

Dr Massila menyampaikan amanat sempena tahun baharu tersebut di hadapan lebih 1,700 orang staf UTeM yang terdiri daripada kakitangan akademik dan pentadbiran pelbagai skim perkhidmatan serta wakil pelajar dan alumni.

Sementara itu Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) UTeM, Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi berkata, pelaksanaan majlis ini berjalan dengan jayanya seperti dirancang.

Katanya, ini merupakan program tahunan UTeM yang mana menghimpunkan seluruh warga kerja UTeM, wakil pelajar dan alumni UTeM bagi mendengar aspirasi semasa dan gerak kerja komprehensif bagi mencapai aspirasi UTeM dan KPT.

Pada majlis yang sama Dr Massila turut melancarkan Buku Pelan Strategik UTeM 2023 hingga 2025 yang menggariskan perincian penuh 5 Teras Strategik UTeM dan seiringan dengan 11 fokus Menteri Pengajian Tinggi dan pelancaran Dashboard Pengurusan Tenaga UTeM.

Turut hadir dalam Majlis Amanat Naib Canselor UTeM 2023 adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ggazali Omar dan Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat.

Turut menjayakan adalah Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti dan Risiko (PPSKR), Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEI), Prof Madya Dr Musthafah Mohd Tahir.