07 April 2022
Rangkul 3 anugerah utama: UTeM diiktiraf sebagai organisasi yang mengamalkan pengurusan tenaga terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diiktiraf sebagai organisasi pengurusan tenaga terbaik di peringkat kebangsaan dan juga Asia Tenggara.
Ianya menerusi 3 kejayaan berprestij yang telah berjaya dirangkul oleh UTeM bagi 3 kategori menerusi Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) dan Anugerah Tenaga ASEAN (AEA ) 2021 yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis tersebut kesemua hadiah telah disampaikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada wakil UTeM, Pengarah Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (PKA), Prof Madya Juhari Ab Razak dan kakitangannya.
Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan ini merupakan pencapaian yang membanggakan sekaligus mengharumkan nama UTeM di peringkat kebangsaan dan juga rantau Asia Tenggara.
Ujarnya, kejayaan di peringkat kebangsaan apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Pengurusan Tenaga (Energy Management in Large Building) membawa pulang trofi dan RM 40,000.00 dan keduanya adalah memenangi Anugerah Khas bagi Institusi Pengajian Tinggi dalam negara membawa pulang trofi dan RM 40,000.00.
Katanya, kemuncak pengiktirafan amalan terbaik pengurusan tenaga UTeM apabila diiktiraf sebagai pemenang utama di peringkat Asia Tenggara dengan merangkul Energy Management in Buildings and Industries Awards bagi kategori Large Buildings dengan tajuk projek Sustainable Energy Management System in Public University: Towards a Smart and Dynamic Campus dan kejayaan ini UTeM menerima trofi kemenangan.
Mengulas tentang keberkesanan dan impak Sistem Pengurusan Tenaga Lestari UTeM, Dr Massila menyatakan ianya telah menyumbang kepada pengurangan emisi karbon dan meningkatkan Indeks Tenaga Bangunan (BEI) bagi kampus induk UTeM.
“BEI terkini adalah 145 kWj/m2 dan pengurangan emisi karbon sebanyak 3791.97 tan metrik Penjimatan pengunaan tenaga bagi tempoh tiga tahun adalah sebanyak 13,849,590 kwj,” ujarnya lagi.
Menyentuh mengenai aktiviti-aktiviti pengurusan tenaga di UTeM pula Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, UTeM juga turut telah diiktiraf oleh Asean Energy Management Scheme (AEMAS).
Katanya, UTeM telah pun mencapai pengiktirafan satu bintang pada tahun 2016 dan seterusnya diiktiraf 2 bintang pada tahun 2019 dalam Energy Management Gold Standard (EMGS) oleh Asean Energy Management Scheme (AEMAS) lalu meletakkan UTeM di puncak dan mendahului kedudukan dalam rangkaian seluruh institusi pengajian tinggi lain dalam negara.
Ujarnya, pihak UTeM tidak hanya berpuas hati dengan pencapaian setakat itu bilamana kami terus bergerak maju serta terus melangkah progresif dan hasilnya kini UTeM dalam penilaian akhir bagi mendapatkan pengiktirafan tertinggi EMGS untuk 3 bintang pula pada tahun 2022 ini.
Kejayaan ini telah membuktikan komitmen UTeM terus merintis dan menerajui bagi skop penggunaan tenaga secara cekap dan menyokong usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar dengan mengurangkan emisi karbon .