Skip to main content
24 June 2021

Rangkaian Produk Inovasi UTeM Menyerlah di MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards

Rangkaian produk inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dengan menggondol 2 anugerah khas, 2 pingat emas dan 2 pingat gangsa di Malaysia Technology Expo 2021 (MTE): Covid19 International Innovation Awards.
 
MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards mencungkil produk-produk inovasi berprestij bertaraf dunia ini telah berlangsung pada 14 hingga 18 Jun 2021 dan ianya lebih terfokus kepada inovasi serta pembaharuan berkaitan isu dan permaslahatan pandemik Covid19.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini terus memacu momentum keunggulan UTeM dalam menyemarakkan dunia inovasi yang memberikan sumbangan berimpak kepada dunia.
 
Jelasnya, budaya inovasi UTeM terus menyemarak dan dinamik selari dengan permintaan semasa dunia yang mana UTeM turut sama menyumbangkan rangkaian hasil inovasi berimpak bagi memudahkan komuniti global dalam persekitaran pandemik kini.
 
“Kejayaan ini tentunya menzahirkan impak keberadaan UTeM yang memberikan sumbangan langsung kepada masyarakat serta komuniti dunia selaras dengan konsep tunai iaitu Technology at University Advancing Industry and Community,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
 
MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards menyaksikan 2 produk inovasi UTeM menyerlah apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah MTE 2021 Covid 19 Outstanding Award.
 
Produk inovasi tersebut ialah Touchless Covid 19 Medical Trolley (TroVid 2.0) diketuai Ts Dr Norhashimah Mohd Saad dari Fakulti Teknologi Kejurutetraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE).
 
Sebuah lagi produk inovasi yang menerima anugerah tersebut juga ialah Social Distancing Indicator System yang diketuai Ts Dr Zulkeflee Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP).
 
Kedua-dua produk inovasi tersebut juga telah berjaya merangkul 2 pingat emas buat UTeM pada kali ini.
 
Sementara itu 2 pingat gangsa UTeM diraih menerusi produk Community Empowerment diketuai Ts Hidayah Rahmalan dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) dan Agility Tool Kit for Family Enterprises (ATTe) During Times of Crisis yang diketuai Dr Amiruddin Ahamat dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan.
 
MTE 2021: Covid19 International Innovation Awards yang dijalankan secara dalam talian itu merupakan anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences dan disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan beberapa kementerian berkaitan.