Skip to main content
04 November 2020

Reruai Saringan Covid 19 Ciptaan UTeM diiktiraf Menang Anugerah Peringkat Antarabangsa

Kepakaran penyelidikan dan inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diperakui dunia apabila Reruai Saringan Covid 19 yang dibangunkan oleh penyelidik universiti ini telah memenangi pingat emas dan anugerah khas di Malaysia Technology Expo (MTE) 2020, baru-baru ini.
 
MTE 2020, Edisi Khas, Anugerah Inovasi Antarabangsa Covid 19 yang telah diadakan secara atas talian pada 30 September sehingga 2 November 2020.
 
Ianya bertujuan bagi menghargai dan meraikan semua inovasi sebagai respon terhadap pandemik Covid 19 merangkumi pelbagai kategori yang berperanan dalam usaha tindak balas dan pemulihan di peringkat global.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini menggambarkan peranan UTeM bersama dengan kominiti dalam negara dan peringkat dunia bersama mengekang pandemik ini.
 
Jelas beliau, produk ini bertujuan kegunaan para doktor untuk menyaring pesakit yg disyaki dijangkiti Covid 19di Hospital Melaka.
 
Katanya, reruai ini dapat mengurangkan beban doktor di samping selamat digunakan kerana ianya dilengkapi dengan penapis ULPA yang dipercayai mempunyai tahap kefisienan tinggi menapis zarah bersize 0.12 micron.
 
Katanya, reruai ini dilengkapi dengan mikrofon tanpa wayar untuk komunikasi antara doktor dan pesakit serta turut dilengkapi dengan lampu dan penghawa dingin untuk keselesaan doktor menjalankan tugas.
 
“Projek ini dibangunkan oleh UTeM dengan kerjasama rakan industri, AFA Technologies Sdn. Bhd. dan ALPRO Engineering Sdn. Bhd. dengan nasihat dari Hospital Melaka dan pembangunan reruai ini telah mengambil masa selama 3 bulan,”ujarnya lagi.
 
Projek ini dibangunkan oleh penyelidik UTeM yang diketuai Pengarah Pusat Hubungan Industri UTeM, Profesor Madya Dr Kok Swee Leong dan Prof. Dr Zahriladha Zakaria.
 
Menariknya di samping memenangi pingat emas, produk ini turut diiktiraf apbila turut terpilih bagi menerima anugerah Anugerah Khas (Euro Haller Business Award).
 
Dr Raha berkata, Satu lagi produk UTeM yang turut menyertai MTE 2020 adalah pelindung muka yang yang dikenali sebagai UTeM Face Shield yang dihasilkan sendiri di makmal Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembutan (FTKMP), UTeM.
 

Projek penghasilan produk UTeM Face Shield ini diketuai oleh Prof Madya Ir Dr Mohd Yuhazri Yaakob berjaya memenangi Anugerah Merit pada penyertaannya di MTE 2020 ini.