Skip to main content
06 June 2018

UTeM Universiti Awam Pertama Laksanakan Pendaftaran Pelajar Baharu Secara Atas Talian Tanpa Hadir

 

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatat sejarah tersendiri selari dengan Revolusi Industri 4.0 dengan melaksanakan sistem pendaftaran pelajar baharu secara atas talian yang mana pelajar tanpa hadir.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad berkata, UTeM menerusi Bahagian Pengurusan Akademik Pejabat Pendaftar telah memulakan inisiatif ini sempena dengan proses pendaftaran kemasukan masuk pelajar baharu bagi pengajian diploma sesi Jun 2018/2019 baru-baru ini.

Katanya, pendaftaran tersebut telah pun dilaksanakan oleh pelajar pada 4 Jun 2018 yang lalu menerusi atas talian dengan mendaftar masuk melalui sistem ULearn yang telah dibangunkan oleh universiti ini sekaligus secara rasmi mereka telah diiktiraf sebagai pelajar baharu UTeM.

Tambah beliau, antara objektif pelaksanaan sistem ini adalah bagi memudahkan proses pendaftaran masuk pelajar baharu yang berada dari seluruh negara yang mana secara fizikalnya mereka tidak perlu hadir ke UTeM ekoran musim perayaan yang bakal menjelang tiba serta menjimatkan kos perjalanan pergi balik cuti hari raya nanti.

“Namun mereka perlu hadir secara fizikal bagi melapor diri dan mengikuti pengajian sepenuhnya pada 20 Jun 2018 nanti bertempat di Pusat Pengajian Siswazah (PPS)  Kampus Induk UTeM Durian Tunggal”, ujar beliau lagi.

Pelajar baharu pengajian diploma ini adalah terdiri daripada bidang kejuruteraan mekanikal, pembuatan, elektrik, elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi yang terus mendapat sambutan ramai.

Sementara itu Timbalan Pendaftar Kanan Mohd Nizam Pavel pula berkata, secara prinsipnya pihak BPA UTeM melihat perkembangan ini adalah sangat relevan dengan kemajuan teknologi dunia kini dan UTeM sentiasa memberikan yang terbaik untuk semua.

Jelasnya, dari segi operasi pendaftaran pelajar baharu yang telah berjalan tempoh hari nampaknya berlangsung dengan baik dan lancar oleh pelajar diploma ini di bawah seliaan kami di sini.

Secara umumnya UTeM mencapai sasaran unjuran yang diperlukan iaitu dalam anggaran seramai 600 orang pelajar baharu yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam negara seperti melayu, cina, india dan lain-lain termasuklan dari Sabah dan Sarawak.