Seramai 50 Ribu Pengunjung Dijangka Banjiri Pesta Konvo UTeM
Seramai 50,000 pengunjung dijangka membanjiri Pesta Konvo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) 2025 (Pesko21) yang berlangsung bermula dari 31 Oktober hingga 3 November di Tapak Pesta Konvo, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, Pesko21 diadakan bersempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 yang berlangsung dari 1 hingga 3 November.
Katanya, konvokesyen ke-21 meraikan seramai 3,278 orang graduan diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) dan pada kali ini sebanyak 71 peratus adalah graduan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.
“Sehubungan dengan itu, lebih daripada 27 program menarik telah disusun menerusi Pesko21 dengan gabungan pelbagai konsep yang tentunya menjadi tarikan orang ramai serta para pengunjung.
“Pihak UTeM amat mengalu-alukan kehadiran rakyat Melaka dan pelancong untuk bersama-sama memeriahkan serta mengambil bahagian bersama dalam pelbagai aktiviti yang diatur,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, Pesko21 telah dirangka dengan dengan pengisian pelbagai program yang tentunya dinantikan oleh para pengunjung.
“Antara program menarik yang bakal memeriahkan Pesko21 adalah, UTeM E Sport National Championship 2025, Permainan Tradisional Malaysia, SUWARA IPT 2025, Kids Fun Zone, TUAH Jaguh Joran, derma darah dan banyak lagi
“Dalam pada itu Pesko21 kali ini akan membawa barisan selebriti dan artis ternama tanah air di bawah naungan SONY Music,” katanya.