UTeM Catat Lonjakan Luar Biasa Terima Pelajar Baharu Paling Ramai Sejak 25 Tahun Penubuhan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan lonjakan angka luar biasa dengan menerima kemasukan pelajar baharu seramai 3,877 orang bagi mengikuti program ijazah sarjana muda bagi sesi 2025/2026.
Proses Hari Pendaftaran Perdana pelajar baharu UTeM ini telah dijalankan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, angka kemasukan kali ini merupakan lonjakan luar biasa yang telah dicapai UTeM sejak penubuhannya sejak 25 tahun lalu di samping anjakan peningkatan berterusan dalam tempoh empat tahun berturut-turut.
Jelasnya, jika dibandingkan bagi empat tahun berturut-turut sejak tahun 2022, kali ini ini merupakan puncak peningkatan tertinggi bilamana tahun 2022 kami telah menerima seramai 2,043 orang pelajar dan 2,530 orang bagi tahun 2023 manakala tahun 2024 sebanyak 2,896 orang pelajar baharu dan berlaku lonjakan luar biasa sebanyak 3,877 orang tahun ini (angka bagi hari pendaftaran perdana).
Katanya, secara perbandingan angka bagi tahun 2024 dan 2025 menunjukkan peningkatan mendadak seramai 981 orang bersamaan dengan peningkatan peratusan sebanyak 34 peratus.
Menurut beliau, corak peningkatan ini disebabkan UTeM selaku universiti TVET terbaik di Malaysia terus menjadi pilihan dan buruan utama lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.
“Antara faktor lain disebabkan UTeM terus mencatatkan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 97.7% dan 98.1% bagi tahun 2024.
“Pada masa yang sama penawaran bidang pengajian UTeM menepati keperluan dan permintaan semasa industri bilamana UTeM merupakan penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award), baru-baru ini.
“Sehubungan dengan itu, dalam aspek penjagaan kebajikan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi terutamanya kepada golongan B40 dengan pelbagai skim bantuan yang telah diberikan sebelum ini tentunya menjadi fokus utama UTeM,” ujarnya sewaktu ditembual ketika meninjau proses pendaftaran pelajar baharu di sekitar Dewan Canselor.
Massila mengulas, pada pendaftaran kali ini UTeM menerima kumpulan pelajar sulung
bagi 2 program di fakulti baharu iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) iaitu seramai 279 orang yang mana 122 orang bagi Sarjana Muda Sains Komputer(Kepintaran Buatan) dengan Kepujian dan 157 orang bagi Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian.
“Seramai 665 orang pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan 624 orang di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).
“Manakala seramai 653 orang pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan 396 orang di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP).
“Bagi pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 647 orang.
“Selebihnya mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) pula seramai 613 orang.
“Kesemua pelajar ini mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) bermula Isnin hingga Jumaat (29 September hingga 3 Oktober) bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti ini pada Ogos lalu,” katanya lagi.
Terdahulu sebelum ini seramai 795 pelajar diploma telah berdaftar menyambung pengajian di UTeM pada bulan Julai lalu.
Sementara itu, kumpulan pelajar baharu menerusi proses rayuan pula dalam anggaran seramai 200 orang dijangka akan mendaftar di UTeM pada 13 Oktober nanti.