Skip to main content
23 September 2025

UTeM Jalin Kerjasama Strategik Bersama Universiti Kindai Jepun Bangunkan Sistem Pengurusan Bencana Banjir Kilat

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Universiti Kindai, Jepun bagi membangunkan Sistem Pengurusan Bencana.

Kerjasama berkenaan telah dimeterai antara UTeM dan Universiti Kindai, Jepun baru-baru ini bertempat di universiti berkenaan sewaktu lawatan kerja UTeM ke Jepun sebelum ini.

Dalam majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut, UTeM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin manakala Universiti Kindai diwakili oleh presidennya, Professor Itaru Matsumura.

Pemeteraian MoU ini telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh yang turut berada di sana bagi merasmikan program Melaka Week di Malaysia Pavillion, Osaka, Jepun.

Massila berkata, menerusi MoU ini UTeM dan Universiti Kindai sepakat untuk membangunkan sistem pengimejan dan ramalan 3D kilat masa nyata yang direka untuk memberikan amaran awal bagi ribut petir dan banjir kilat di Melaka.

“Kerjasama inovatif ini akan merealisasikan bagaimana teknologi canggih boleh menyumbang perkhidmatan dalam aspek keselamatan dan kestabilan sosio-ekonomi komuniti kita.

“Sistem ini juga berperanan dalam penyediaan makluman yang tepat pada masanya kepada banyak golongan termasuklah nelayan, penduduk dan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda, kehilangan nyawa dan melindungi mata pencarian masing-masing,” ujarnya.

Tambah Massila, pada masa yang sama pengisian kerjasama strategik ini turut menyentuh beberapa perkara lain untuk dijayakan bersama seperti aktiviti mobiliti pelajar dan pensyarah.

“Turut akan dilaksanakan adalah program lawatan penyelidikan, Profesor Pelawat dan Profesor Adjung, program Summer School dan pelbagai program penyelidikan dalam bidang sains dan kejuruteraan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global), Profesor Madya Ts Dr Musthafah Mohd Tahir dan Pengurus Centre of Technology for Disaster Risk Disaster (CDR), Prof. Madya Dr. Mohd Riduan Ahmad.