Skip to main content
17 July 2024

Penerokaan Kerjasama Teknologi dan Kejuruteraan Industri Pembuatan: UTeM Meterai MoU Bersama Frencken Mechatronics Sdn Bhd

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Frencken Mechatronics Sdn Bhd bertempat di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, semalam. 
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila kamalrudin berkata, UTeM terus pro aktif dalam melebarkan sayap kerjasama dengan pihak industri secara berterusan dalam usaha menjulang kecemerlangan akademik dan penyelidikan selari dengan kemodenan industri semasa.  
 
Jelasnya, kerjasama ini tertumpu dalam pemerkasaan bidang berkaitan kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan industri, pembuatan termaju, reka bentuk pembuatan, dan bidang lain yang berkaitan. 
 
“Agenda ini turut menyuntik kemajuan penyelidikan, kerjasama teknikal dan pendidikan berterusan yang memberi manfaat besar kepada pelajar dengan memberikan pendedahan kepada aplikasi dunia sebenar pengajian mereka melalui latihan amali, lawatan industri dan ceramah, dan projek kerjasama. 
 
“Pada masa yang sama hubungan ini akan mewujudkan promosi peluang pekerjaan, program latihan, pembelajaran berasaskan kerja (WBL) dan sangkutan untuk pelajar dan kakitangan UTeM di Frencken Mechatronics (M) Sdn. Bhd.,” ujarnya. 
  
Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM dan Frencken Mechatronics juga  akan bekerjasama dalam pembangunan proses dan pengoptimuman pemesinan, kimpalan dan reka bentuk. 
 
“Kerjasama dalam analisis data berhubung dengan kejuruteraan industri dan penyelenggaraan serta kerjasama dalam Internet of things (IoT) atau penyelenggaraan ramalan untuk kecekapan pembuatan,” ulasnya. 
 
Majlis pemeteraian MoU tersebut telah disempurnakan oleh wakil UTeM iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim manakala pihak Frencken Mechatronics diwakili oleh Pengurus Besarnya Martin Low Kong Siang. 
 
Majlis tersebut turut dihadiri Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Prof Ir Dr Hambali Arep@Ariff.
 
Sejurus selesai majlis tersebut pihak Frencken Mechatronics dibawa melawat ke beberapa buah makmal berteknologi tinggi seperti makmal CNC, Robotik dan 3D Printer di FTKIP.