Skip to main content
04 June 2024

Pemacuan TVET Termaju Merentas Sempadan Dunia: UTeM Memeterai MoU Bersama 3 Institusi Pendidikan Tinggi Ternama TVET Eropah

Selari dengan usaha pemacuan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju merentas global maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 3 institusi pendidikan TVET ternama di Jerman, Eropah.

Ketiga-tiga MoU berkenaan disempurnakan sewaktu lawatan kerja Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju bersama delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke Jerman.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah memeterai MoU bersama dengan University of Applied Sciences Kaiserslautern (HSKL), Aschaffenburg University of Applied Sciences (UAS) dan Kiel University of Applied Sciences (FH Kiel).

Ujarnya, MoU antara UTeM dan HSKL adalah tertumpu kepada menyemarak aktiviti dan projek antarabangsa dengan memberi lebih penekanan kepada pengantarabangsaan pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi elektronik dan komputer.

“Perkongsian ini dijangka membawa manfaat besar buat kedua-dua institusi dan menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi dan TVET termaju pada skala global,” katanya.

Prof Massila mewakili UTeM menandatangani MoU ini bersama dengan Naib Presiden Pengantarabangsaan HSKL, Prof. Dr.-Ing. Michael Magin dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden HSKL, Prof. Dr.-Ing. Hans-Joachim Schmidt.

Beliau berkata, pada hari yang sama sesi seterusnya, UTeM memeterai MoU kedua bersama dengan UAS pula dan kerjasama ini memberi penekanan dalam konteks mempromosi dan membangunkan penyelidikan, kerjasama teknikal dan pendidikan.

“Antara pengisian kerjasama ini adalah berfokus kepada aspek perkongsian peluang dalam bidang kejuruteraan elektronik, teknologi maklumat, sains komputer dan disiplin lain.

“Di samping itu kerjasama ini juga turut memupuk usaha bersama dalam meningkatkan pemahaman tentang persekitaran ekonomi, budaya dan sosial,” katanya lagi.

Pemeteraian MoU ini, UTeM diwakili oleh Dr Massila manakala UAS diwakili Prof Dr Eva-Maria Beck-Meuth dan disaksikan oleh Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Bandar Aschaffenburg, Jürgen Herzing.

Pada hari seterusnya UTeM menyempurnakan pemeteraian MoU ketiga dengan FH Kiel yang ditandatangani oleh Dr Massila bersama dengan Presidennya Prof. Dr. Björn Christensen.

Menurut Prof Massila, MoU ini pula tertumpu kepada skop pendidikan antarabangsa, penyelidikan dan aktiviti berkaitan seperti mobiliti pelajar terutamanya dalam bidang informatik, kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan mekanikal.

“Pada masa yang sama delegasi turut memperkenalkan MTUN kepada FH Kiel di samping meneliti dan menanda aras pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) di sana.

“Bersama dengan pengisian kerjasama terutamanya dalam bidang penyelidikan,” ulas beliau dalam kenyataan media yang diberikan sejurus selesai sesi MoU tersebut di sana.

Turut menyertai delegasi UTeM ke sana adalah Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Prof Madya Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah dan Pensyarah Kanan, Dr Muhammad Zulfattah Zakaria.

Sementara itu, MTUN dari Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) pula diwakili oleh Naib Canselor UMPSA Dato’ Ts Dr YuserrieZainuddin dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Prof Ts Dr Kamal Yusoh.