Skip to main content
26 May 2022

Kasih Ramadan: UTeM agih bantuan RM 64,250 kepada pelajar B40

Pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengagihkan sumbangan bantuan sebanyak RM 64,250.00 kepada sebahagian pelajar B40 menerusi majlis Penyerahan Replila Cek dan Sumbangan Kebajikan Pelajar serta Perasmian Program Altruistik di Dewan Pusat Sukan UTeM, Kampus Induk UTeM, semalam.
 
Majlis ini telah dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Teknologi Datuk Rais Yasin dan telah dihadiri hampir 700 pelajar UTeM yang bersama mengikuti program ini.
 
Datuk Rais dalam ucapannya menasihati para pelajar agar menjadikan sumbangan tersebut sebagai satu dorongan dan suntikan semangat buat mereka untuk berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan.
 
Jelasnya, siswa siswi UTeM perlulah merancang kehidupan di sepanjang tempoh pengajian dengan sebaik-baiknya dan menggunakan segala peluang yang ada untuk memperbaiki kehidupan dan mencapai cita-cita yang diimpikan.
 
Pengagihan bantuan sumbangan ini telah disampaikan kepada sebahagian daripada 145 orang pelajar B40 UTeM yang mana setiap orang menerima sumbangan kebajikan sebanyak RM 250.00.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban pelajar UTeM dalam kumpulan B40 sejajar dengan hasrat universiti menjadikan tahun 2022 sebagai tahun kebajikan pelajar.
 
Ujarnya lagi, sumbangan kepada siswa UTeM bukan hanya dalam bentuk tunai sahaja malahan turut diberikan dalam bentuk latihan kepimpinan altruistik kepada 6,000 orang pelajar yang melibatkan beberapa siri pelaksanaan.
 
Majlis ini didahului dengan pengisian Program Kepimpinan Altruistik anjuran bersama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTeM dianjurkan untuk siri ketiga.
 
Pada akhir majlis pula menyaksikan penyerahan replika cek dari pihak Agrobank, i-LEAD, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada pihak UTeM.
 
Di samping itu, penyerahan replika cek keseluruhan bantuan zakat dan kebajikan pelajar bernilai RM 64,250.00 kepada wakil pelajar Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM, Muhammad Amri Hakimi Alias.
 
Turut bersama dalam majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman.