12 October 2021

Hari Akademia UTeM 2021 : UTeM Pupuk Ketokohan dan Karisma Golongan Akademik

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) telah mengadakan pelancaran dan sambutan Hari Akademia 2021 baru baru ini.
 
Sambutan program Hari Akademia UTeM 2021 sepanjang bulan Oktober 2021 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Profesor Ir. Dr. Ghazali Bin Omar yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM.
 
Dr Ghazali berkata, pertama kalinya program disambut pada 2019 lalu dan sehingga kini sambutan Hari Akademia merupakan pengiktirafan dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menghargai jasa dan sumbangan seluruh kakitangan akademik di pelbagai peringkat pengajian lepasan sekolah.
 
Jelasnya, ianya merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Matrikulasi serta Institut Latihan dan Kemahiran (ILK) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) termasuklah UTeM.
 
Menurut Profesor Dr. Mohd Rizal Salleh yang menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) antara pengisian majlis tersebut adalah Academia Talk secara dalam talian yang telah disampaikan oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, Fasc. yang bertajuk “Wibawa, Integriti dan Profesionalisme Akademia.
 
Katanya, program yang berbentuk bual bicara akademia ini membincangkan kewibawa, Integriti dan Profesionalisme ahli Akademia untuk mempertingkatkan ketokohan dan karisma menjadi seorang ahli akademik yang ulung dan berkarakter.

Copyright © 2023 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: