Skip to main content
05 November 2020

UTeM Medan Terbaik Corak Kecemerlangan Akademik : Tidak Cemerlang SPM Namun Berjaya Ikuti Pengajian Fast Track PhD

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dikenali sebagai universiti awam teknikal berprestij di rantau ini dan terus bersinar dalam menghasilkan graduan berkompetensi tinggi memenuhi keperluan semasa majikan dunia.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM turut menjadi medan mencorak kecemerlangan seseorang mahasiswa mengukir kejayaan berganda bukan hanya dalam akademik malahan berkemahiran tinggi serta mudah ke peringkat pengajian seterusnya.  
 
Jelas beliau, persekitaran kondusif yang terdapat di UTeM antara faktor yang menjadikan mahasiswa universiti ini terus bersemangat dalam mengikuti pengajian secara lebih efektif.
 
Antara graduan UTeM yang ingin berkongsi kejayaan yang telah beliau kecapi di universiti ini adalah Amardeep Singh Dhillon A/L Gurdir Singh yang mana beliau pada peringkat awal menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cemerlang yang hanya berbekalkan 2A sahaja.
 
Seterusnya beliau menyambung pengajian di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan mendapat peluang melanjutkan pengajian di UTeM yang terus membuka lembaran baru yang lebih bersinar buat beliau.
 
Dengan kesedaran dan ingin berubah lebih maju maka beliau mula mengorak langkah dan mencorak cita-cita ingin cemerlang dalam pengajian beliau dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) dengan kepujian.
 
Katanya, persekitaran pengajian di UTeM yang kondusif dan sentiasa memudahkan  beliau mengikuti sesi perkuliahan di samping praktikal dengan menggunakan peralatan canggih fasiliti makmal berteknologi tinggi.
 
Ujarnya, barisan pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang industri serta banyak membantu antara faktor yang turut mengasah beliau menjadi penuntut yang lengkap dengan kepakaran dalam bidang teknologi kejuruteraan eletronik ini.
 
“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh pengajian saya di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UTeM membuahkan hasil yang membanggakan apabila berjaya bergraduat dengan keputusan ijazah kelas pertama dan melayakkan beliau menerima Anugerah Naib Canselor sewaktu konvokesyen tahun 2019 lalu.
 
Berbekalkan kejayaan cemerlang Ijazah Sarjana Muda kelas pertama di UTeM itu terus melayakkan beliau mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah bidang Kejuruteraan Sistem Elektrik dan Komputer di Universiti Monash Malaysia tanpa perlu melengkapkan program Ijazah Sarjana terlebih dahulu.
 
Mengimbas kembali perjalanan masa lalu, Amardeep Singh Dhillon pernah merasakan bahawa masa depannya suram bila memikirkan bahawa keputusan SPM beliau yang tidak cemerlang.
 
Namun kini beliau gembira walau hanya keputusan 2A di peringkat SPM kini beliau sedang mengikuti pengajian peringkat tertinggi apatah pula menerusi program Fast Track PhD yang menjadi idaman ramai dalam kalangan graduan.
 
“Saya berada pada hari ini kerana keluarga saya yang mana ketika berusia 7 tahun, ayah saya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang teruk lalu hanya terbaring di katil dan tidak berdaya.  
 
“Kami sekeluarga menempuh situasi yang amat sukar setelah kejadian itu di samping  saling menyokong antara satu sama lain, ibulah tempat bergantung dan mendorong saya hingga berjaya dan saya hadiahkan kejayaan ini buat ibu dan ayah,” ujarnya
 
Dia menambah bahawa jika anda pernah menghadapi situasi atau nasib yang tidak menguntungkan maka janganlah berdiam diri tetapi anda harus bangun mencipta tekad, azam dan impian dan kejarlah ia sehingga berjaya.
 
Sekali lagi beliau menyatakan bahawa mendapat keputusan yang tidak cemerlang di peringkat awal bukanlah menjadi penentu kepada segala tetapi apa yang anda lakukan selepas itu di samping kerja keras dengan penuh dedikasi akan membuka lembaran kejayaan berganda buat menyinari masa depan.
 

Sekiranya anda merasa kecewa, Amardeep menasihatkan agar anda berhenti sejenak dan kaji di mana kesilapan itu dan perbaikilah ia agar kesilapan yang sama tidak diulangi pada masa akan datang.