Kepakaran barisan Profesor serta keunggulan produk inovasi penyelidikan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diperakui dan diangkat martabatnya sebagai produk yang memberi manfaat besar kepada komuniti dalam negara malah melebar kepada komuniti global.
Terbaru, Profesor Dr. Faaizah Shahbodin yang juga merupakan Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES) UTEM telah mengukir kejayaan apabila memenangi 2018/2019 SEAMEO – Jasper Research Award di bawah tema “Overcoming Barriers to Inclusion”.
Penyelidikan beliau yang bertajuk "Development of Autism Cognitive Level Identification Assessment Kits Using Serious Games Technique for SEAMEO SEN" telah terpilih daripada kalangan variasi hasil penyelidikan yang diterima oleh SEAMEO SEN dari seluruh Asia Tenggara yang mana penyelidikan beliau telah berjaya membantu golongan kelainan upaya dan memudahkan urusan golongan ini.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib melahirkan rasa syukur dan kegembiraan di atas pencapaian berimpak ini dan beliau turut merakamkan ucapan tahniah di atas pencapaian tersebut lalu melonjakkan jenama UTeM.
Jelas beliau, kejayaan tersebut menjadi pemangkin semangat kepada kumpulan ahli akademik UTeM yang lain untuk turut sama meluaskan lagi rangkaian hasil penyelidikan yang secara langsung membantu komuniti serta golongan kelainan upaya.
SEAMEO – Jasper Research Award merupakan salah satu daripada inisiatif daripada Sekretariat SEAMEO dan Kerajaan Kanada dalam mengiktiraf penyelidikan daripada Asia Tenggara di samping memudahkan rangkaian penyelidikan dari negara tersebut.
Ianya ditubuhkan pada tahun 1990 dengan matlamat utama bertujuan untuk menggalakkan cendekiawan muda untuk meneruskan penyelidikan mengenai tema berkaitan perkembangan sosial di Asia Tenggara dan untuk memudahkan interaksi dan perkongsian pengetahuan yang berterusan di kalangan penyelidik Asia Tenggara dan Kanada.
Majlis penganugerahan dijangka akan diadakan dalam jangka masa terdekat dan dimaklumkan akan disempurnakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Presiden SEAMEO Council 2019/2021.